JULAI 2023

Premier Lancar Kapal Peronda Kelas Laju Pulau Sarawak Coast Guard Dan Rasmi Markas UKPS Miri


𝗠𝗜𝗥𝗜, Premier Sarawak,  Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Pelancaran Kapal Peronda Kelas Laju Pulau Sarawak Coast Guard dan Perasmian Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Miri hari ini.

Terdahulu, Abang Johari melancarkan enam (6)  Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard dan merasmikan Markas UKPS Miri yang terletak di Krokop di sini. 

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, beliau memberitahu pembinaan empat markas tersebut kelak akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK ke-12). 

Abang Johari juga memberitahu, Kerajaan Sarawak turut merancang untuk menambah aset sedia ada dengan membina tiga (3)  lagi kapal peronda yang lebih besar bagi membolehkan pasukan Sarawak Coastguard meronda lebih jauh dan lebih lama untuk menjaga keselamatan perairan negeri. 

Sementara itu katanya, enam Kapal Peronda Laju Kelas Pulau terbabit yang masing-masing sepanjang 25 meter dengan teknologi jet air dibina dengan peruntukan RM90 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2020 dan berjaya disiapkan mengikut tempoh serta kualiti yang ditetapkan. 

Dalam majlis tersebut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKPS yang diwakili Pengarahnya Datu Dr Chai Khin Chung dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Abang Arabi Abang Aimran.

MoU tersebut memeteraikan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam melaksanakan tugasan penguatkuasaan.

Premier Sarawak juga menyempurnakan simbolik penanaman pokok di markas tersebut sebelum beliau bersama tetamu jemputan lain kemudiannya menaiki kapal-kapal peronda laju kelas pulau berkenaan untuk program ‘sea touring’.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Buckland Bangik dan Pengarah UKPS Datuk Dr Chai King Chung.

Sumber dari : Sarawakku